Penyanyi Nabila Razali mengambil komen dan kritikan yang diterima menerusi lakonannya dalam Hikayat Cinta Si Pematah Hati sebagai satu motivasi.

"Walau apa jenis kritikan sama ada buruk atau baik, saya akan mendengar dan mengambilnya.

"Kalau mereka memberi respon positif, perkara tersebut membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja.

"Jika mereka memberikan kritikan negatif dan tidak membina, saya akan turut berlapang dada menerimanya.

"Saya menjadikan semuanya sebagai motivasi. Saya tidak mudah mengaku kalah dan percaya akan usaha keras selalu membuahkan hasil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila baru sahaja merakamkan single terbaru hasil ciptaan Ezra Kong dan Hael Hussaini.

"Lagu tersebut merupakan kesinambungan terhadap lagu Cemburu. Penciptanya juga merupakan orang yang sama.

"Berjudul Pematah Hati, lagu tersebut akan menemui peminat tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran aplikasi Metro TV pada Selasa.

Metro TV merupakan aplikasi mudah alih terbaru yang dibangunkan oleh Harian Metro dan Media Prima Labs.

Aplikasi ini membawakan kandungan berita bervideo setiap hari dan turut memaparkan kandungan video eksklusif dengan menampilkan pelbagai jenis selera berita seharian.

Muat turun aplikasi ini menerusi Apps Store atau Google Playstore.

Teks oleh: Kamaruddin Razal