Penyanyi yang terkenal dengan gelaran Papa Rock, Datuk Ramli Sarip bakal muncul menerusi sebuah konsert khas untuk membantu nasib pelarian Rohingya.

Konsert yang diberi nama Konsert Pelarian Selamatkan Bumimu bakal berlangsung pada 26 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

"Konsert ini merupakan kesinambungan beberapa siri konsert kemanusiaan lain yang pernah saya sertai sebelum ini.

"Menerusi kerjasama dengan Rasa Music, konsert ini meletakkan sasaran kutipan dana dan sumbangan sebanyak RM500,000. Kutipan itu bertujuan untuk disalurkan kepada Tabung Pertubuhan Rohingya Malaysia," kata Ramli kepada Astro Gempak.

Tambah Ramli, konsert ini akan turut dimeriahkan dengan penampilan Ratu Rock Malaysia, Ella.

"Saya berharap gandingan saya dan Ella atas satu pentas akan dapat menarik ramai pihak untuk menyumbang dana.

"Sehari sebelum konsert berlangsung, sebuah persembahan makan malam gala yang akan menampilkan persembahan akustik akan turut diadakan di lokasi yang sama.

“Dua acara ini mempunyai visi yang sama, cuma majlis makan malam gala bersifat lebih santai.

"Saya berharap usaha saya, penganjur dan semua pihak yang terlibat untuk sama-sama membantu pihak pelarian Rohingya yang memerlukan akan dipermudahkan," katanya lagi.

Konsert yang dijangka berlangsung dalam durasi dua jam tiga puluh minit ini juga mendapat sokongan produk minuman Kopi Pak Belalang, PWTC dan Universiti Utara Malaysia.

Untuk majlis makan malam gala yang lebih bersifat santai, harga meja kategori satu berharga RM15,000, kategori kedua, RM8,000, seterusnya RM6,000 dan RM4,000. Tiket juga boleh dibeli mengikut tempat duduk.

Makan malam gala itu dijangka akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan wakil khas Rohingya Muslims of Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Tiket-tiket konsert pula berharga RM83 sehingga RM403 dan telah mula dijual. Untuk urusan pembelian atau sebarang informasi lanjut mengenai konsert ini, anda boleh menghubungi urusetia di talian 03-21706333 atau layari laman web www.ilassotickets.com.

Pembeli awal sebelum 15 Julai akan mendapat potongan harga sebanyak 15 peratus.

Teks oleh: Kamaruddin Razal