Penyanyi baru yang sedang mencipta populariti, Khai Bahar menafikan wujudnya sebarang isu yang mendakwa dirinya lupa diri.

Menerusi kemaskini laman Instagram Khai (@khaibahar94) beberapa hari lalu, penyanyi yang baru sahaja merangkul dua trofi di Anugerah Bintang Popular BH 30 (ABPBH30) itu memuat naik sekeping foto bersama ibu bapanya dengan kapsyen yang berbunyi:

"Assalamualaikum semua.. Nama saya Muhammad Khairul bin Baharuddin, saya berasal dari Kampung Padang Katong, Kangar, Perlis. Bapa saya bekerja sebagai pemandu teksi, ibu saya suri rumah, saya ada 6 beradik dan saya anak ke-4.

"Kepada sesiapa yang menuduh saya seolah-olah malu mahu mengaku anak Perlis, saya dah maafkan anda dan maafkan saya jika kehadiran saya menyusahkan hidup anda.

"Kalau tak suka mohon sangat-sangat skip pasal saya, jangan ambil tahu pasal saya, saya tidak mengharapkan apa-apa dari anda.

"Saya bersyukur sangat-sangat kerana Allah dah berikan rezeki kepada saya dan kekuatan saya sekarang adalah ibu bapa dan penyokong saya yang ada sekarang ini," tulis Khai.

Ketika ditemui baru-baru ini, Khai menjelaskan kapsyen tersebut ditulis adalah untuk peringatan sendiri.

"Tiada isu saya tidak ingat asal usul saya. Memang saya berasal dari sebuah kampung di Perlis dan kini saya diberikan peluang untuk dikenali dalam arena seni suara.

"Kata-kata yang saya coretkan dalam laman Instagram saya adalah untuk peringatan sendiri. Saya juga mahu merakamkan penghargaan terhadap ibu bapa serta rakan-rakan yang selama ini tidak jemu menyokong saya dalam bidang nyanyian," kata Khai.

Membawa pulang trofi Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular di malam kemuncak ABPBH30, Khai menjadikan kemenangannya sebagai azimat untuk berjaya.

"Memenangi anugerah bukan petanda unruk saya bersenang dan berehat. Trofi merupakan penghargaan peminat.

"Apa yang boleh saya lakukan ialah dengan berusaha lebih lagi di masa akan datang. Saya mahu meningkatkan kualiti kerja saya dalam industri ini," katanya lagi ketika ditemui di majlis pelancaran aplikasi Metro TV pada Selasa.

Metro TV merupakan aplikasi mudah alih terbaru yang dibangunkan oleh Harian Metro dan Media Prima Labs.

Aplikasi ini membawakan kandungan berita bervideo setiap hari dan turut memaparkan kandungan video eksklusif dengan menampilkan pelbagai jenis selera berita seharian.

Muat turun aplikasi ini menerusi Apps Store atau Google Playstore.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Assalamualaikum semua.. nama saya muhammad khairul bin baharuddin, saya bersal dari kampung padang katong kangar perlis. bapa saya bekerja sebagai pemandu teksi, ibu saya suri rumah, saya ada 6 beradik dan saya anak ke 4 , kepada sesiapa yng menuduh saya seolah2 malu mahu mengaku anak perlis , saya dh maafkn anda , dan maafkn saya jika kehadiran saya menysahkn hidup anda. kalau xsuka mohon sngat2 skip pasal saya, jngan ambil tahu pasal saya, saya tidak mengharapkn apa2 dari anda,, saya bersyukur sngat2 kerana Allah dh berkan rezeki kepada saya, dan kekuatan saya skrng adalah ibu bapa dan penyokong2 saya yng ada skrng ini,, ❤️

A post shared by khaibahar94 (@khaibahar94) on