Baru-baru ini penyanyi popular Korea Selatan, Yesung mendedahkan rahsianya mendapatkan wajah bersaiz kecil persis seorang model.

Yesung atau nama sebenarnya Kim Joong Woon, 33, berkongsi tips penjagaan berat badannya ketika menjadi tetamu dalam sebuah program bual bicara.

Ahli kumpulan Super Junior yang baru sahaja menamatkan latihan ketenteraan itu memberitahu bahawa wajahnya telah banyak berubah berbanding sebelum menyertai program ketenteraan tersebut.

“Rahsia saya untuk mengecilkan muka adalah dengan tidak mengambil makanan masin.

”Berat badan saya cepat naik, jadi saya perlu berusaha keras untuk mengawal berat badan.

”Dengan kurang mengambil garam, pasti berat badan anda akan berkurangan dan memiliki wajah runcing seperti saya,” katanya menerusi rancangan “2 O’Clock Escape Cultwo Show”.

Dalam perkembangan terbaru, Yesung bakal muncul dalam program Radio Star iaitu program terakhir rakannya, Kyuhyun sebelum menjalani latihan ketenteraan pada 25 Mei ini.

Yesung juga akan membuat persembahan secara langsung dalam konsert I-Seoul-U yang akan berlangsung malam ini (Selasa) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Antara selebriti Korea lain yang bakal membuat persembahan secara langsung adalah Red Velvet dan NCT 127.

Teks oleh : Izzat Ridzwan