Pelakon Datin Nina Juren akui idamkan watak orang kurang siuman yang merempat dijalanan.

Nina Juren atau nama sebenarnya Haznina Juren Haniff, 46, berkata setelah lebih 20 tahun dalam bidang lakonan, belum pernah sekali ditawarkan watak tersebut kepadanya.

"Sebenarnya dari dulu lagi saya impikan watak orang gila. Saya mahu jadi orang gila yang berada dalam keadaan kotor, tidur di kaki lima dan duduk di tepi tong sampah.

"Saya rasa watak itu sahaja yang belum pernah diberikan kepada saya untuk dilakonkan. Saya mahu juga mencabar diri untuk melakukannya.

"Saya tahu, ramai produser atau pengarah tidak mahu menawarkan watak itu kerana dikatakan wajah saya tidak sesuai tetapi sekarang sudah banyak teknik solekan yang boleh mereka lakukan untuk mengubah seseorang itu," katanya kepada Astro Gempak.

Selain mahu mencabar lakonannya, Nina memberitahu dia teringin hendak membawa watak itu kerana mahu menyelami dan merasai perasaan golongan tersebut.

"Pada saya, itu sahaja cara untuk kita tahu dan menyelami perasaan golongan ini.

"Saya sudah fikir, jika saya diberi peluang membawa watak ini saya akan membuat kajian penuh dengan duduk mungkin sebulan di kawasan jalan Chow Kit.

"Ia memerlukan kajian yang betul kerana ia bukan perkara biasa dalam kehidupan seharian kita.

"Setengah orang kata mereka ini jijik tapi kita tak tahun nasib kita akan datang macam mana," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Nina baru sahaja selesai penggambaran telemovie Suri Hati Mr. Pilot Raya dan kini sedang dalam penggambaran siri Hero Seorang Cinderella.

Teks oleh: Syafiqah Jalal