Duta baharu Transformasi Nasional 2050 (TN50), selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, memberitahu akan menggunakan pengaruh media sosial untuk menarik minat rakyat untuk terlibat secara langsung dalam pembentukan TN50.

Mempunyai hampir 5 juta pengikut di Instagram berkata, fokusnya pada ketika ini ialah mahu mewujudkan kesedaran supaya masyarakat faham tujuan pembentukan TN50.

"Saya rasa apa yang paling penting sekali adalah untuk mereka semua terlibat secara langsung sebab sekarang ini mereka rasa mereka tidak diperlukan dan tiada fungsi dalam pembentukan TN50.

“Jadi saya mahu wujudkan kesedaran supaya pengikut saya termasuk mereka di luar sana faham bahawa kita semua adalah sebahagian daripada pembentukan TN50.

"Apa yang boleh saya utarakan adalah menggunakan media sosial saya sebab sekarang ada banyak cara seperti IG live, Instastory dan pelbagai lagi di mana saya akan menggunakan ia sepenuhnya sebagai platform utama.

"Pastinya, selepas ini, saya akan terlibat secara langsung dan saya sebagai medium untuk tarik mereka (rakyat Malaysia) untuk menyertainya dan mendengarkan apa yang hendak disampaikan," katanya.

Pelantikan Neelofa menjadikan TN50 kini memiliki 23 duta belia, yang berjaya dalam bidang masing-masing, selepas 13 individu dipilih pada April lalu.

Neelofa, baru-baru ini disenaraikan antara 300 individu berpengaruh dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017, bagi kategori Runcit dan E-Dagang, selain menjadi inspirasi kepada wanita untuk berdikari.

Individu lain yang dipilih adalah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup; Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Izhar Ariff; pemuzik Iban, Gabriel Fairuz Louis.

Selain itu, Pengurus Eksekutif (Operasi) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jufitri Joha; Pengasas dan Pengarah Urusan JuaraGym, Ben Uzair; pereka seni halus, Anniketyni Madian.

Turut terpilih adalah usahawan pembangunan tenaga kerja dan pendidikan profesional, Dr Juliana Lim; pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Help Somebody, Dr Esther Michael dan sukarelawan Reef Check, Nadhirah Mohd Rifai.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddi berkata, kesemua duta yang dilantik akan memainkan peranan dan pengaruh mereka dalam bidang masing-masing dalam menarik minat lebih ramai belia untuk terlibat sama dalam pembentukan TN50.

Sumber: Astro Awani