Dengki dan khianat tidak dapat lari daripada alam perniagaan, hal ini terjadi kepada pemilik bisnes House Of Cat di seksyen 7, Shah Alam.

Kisahnya bersama tiga pekerja disihir hingga bisnes hampir gulung tikar itu dikongsikan di Facebook beberapa hari lalu sekali gus mengundang perhatian netizen.

Ceritanya, premis House Of Cat yang beroperasi sejak empat tahun lalu mula berdepan kejadian aneh sejak awal tahun ini.

"Beberapa kelibat aneh muncul dan melintas dalam premis. Semakin hari perniagaan kami semakin merosot.

"Pada satu malam tiba-tiba ada guli bergolek sendiri tetapi kami tidak endahkan.

"Ada barang yang diletakkan di tempat lain beralih dengan sendiri, muncul bau busuk macam bangkai dan pelbagai bunyi aneh.

"Ada juga lampu kedai tiba-tiba terpadam ketika masih ada pelanggan," singkapnya.

Justeru, pelbagai ikhtiar dilakukan dan angkara sihir mula menampakkan kesan.

"Setiap minggu staf dirasuk, apabila buang air kecil akan keluar darah, tidur malam di katil apabila sedar sudah di depan pintu.

"Kami muntahkan rambut, darah, cecair hitam, serpihan kaca dan ada rawatan sampai berjaya keluarkan paku karat. Kami bermandi air mata!

"Beberapa barang sihir juga ditemui sekitar kedai seperti jarum, kain kapan, duit syiling lama dan kain kuning bertulis jampi," tulisnya.

Dek kerana tidak tahan dengan kejadian yang menimpa mereka, premis House Of Cat telah menamatkan operasi semalam (Ahad).

Selepas pelbagai usaha dilakukan, pemilik dan pekerja House Of Cat semakin sembuh namun enggan mendedahkan individu yang melakukan perbuatan syirik itu.

Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia kurang seminggu lagi, kami di Astro Gempak menyeru bersama-sama untuk kosongkan hati, insafi diri dan hindari perbuatan terkutuk yang dimurkai Allah.




Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Facebook House Of Cat