Melewati fasa akhir menjelang bulan Ramadan, ramai yang sudah membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Merancakkan persediaan, budaya menghantar poskad ucapan hari raya cuba disemarakkan semula oleh Pos Malaysia menerusi inisiatif baharu iaitu poskad raya pintar.

Menerusi sepotong video demo berdurasi 2 minit 20 saat, versi poskad raya yang dikeluarkan Pos Malaysia tahun ini membuatkan netizen teruja.

Poskad animasi Aidilfitri yang direka oleh Pos Malaysia itu menggunakan teknik Augmented Reality dan hanya boleh dilihat dengan menggunakan aplikasi khas AR Poscard di telefon pintar.

Sebanyak empat versi poskad raya dikeluarkan oleh Pos Malaysia dan setiap satunya menyampaikan tema berbeza-beza.

"Poskad animasi Aidilfitri ini dijual dalam empat versi dan setiap satunya ada tema tersendiri.

"Apabila poskad-poskad itu dilihat menerusi aplikasi AR Poscard, animasi-animasi itu akan hidup dan disertakan dengan lagu serta takbir raya," jelas wakil Pos Malaysia.

Poskad animasi Aidilfitri itu mula dijual 22 Mei (hari ini) di semua cawangan Pos Malaysia dengan harga RM6.25.


Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Utusan Malaysia