Persaingan Gema Gegar Vaganza (GGV) sudah memasuki minggu kemuncak. Setelah enam minggu berhempas pulas, minggu ketujuh menyaksikan seorang peserta bakal dinobatkan sebagai juara.

Biarpun terdapat sedikit pertikaian serta kontroversi semenjak mula disiarkan, GGV mula menjadi perhatian orang awam dan menaikkan kembali martabar irama nasyid.

Di sebalik kritikan yang diterima, penonton tidak boleh menidakkan GGV menjadi salah sebuah program yang menghiburkan serta memberi manfaat positif terhadap penonton.

Empat kumpulan serta dua peserta solo bakal menggalas tugas untuk menghiburkan penonton serta pihak juri. Siapakah bakal menjadi juara GGV untuk musim pertama ini?

Hijjaz
Kumpulan yang dianggotai oleh Munif, Isman, Faizal dan Ariffin ini merupakan kumpulan paling senior. Seringkali menyampaikan persembahan yang memberi kesan mendalam, Hijjaz menjadi pilihan ramai untuk duduk di kerusi juara GGV.

Mirwana
Kehebatan kumpulan ini tidak boleh disangkal. Dianggotai oleh Along, Akmal, Naim, Hafiz, Ikram dan Faiz, Mirwana sering memberikan nyanyian memukau dan dinamik vokal yang baik. Mirwana mampu menjuarai GGV jika mereka konsisten seperti minggu-minggu sebelumnya.

UNIC
Memberi persembahan berbeza setiap minggu, UNIC juga menjadi calon kegemaran untuk menyandang gelaran juara GGV. Karisma Bazli, Fakhrul dan Najdi dalam membawakan setiap lagu memang tidak harus dipandang remeh.

Saujana
Kumpulan yang dianggotai oleh Suffian, Najran, Zuhaidi dan Azalinor ini tampil kurang konsisten. Namun begitu, dua minggu kebelakangan ini, Saujana mula menunjukkan taring. Saujana mampu bergelar juara jika mereka memberikan kejutan di malam konsert akhir.

Hafiz Hamidun
Hafiz sering dipuji kerana berkebolehan mengalunkan pelbagai rentak lagu di GGV. Hafiz mampu bergelar juara GGV jika dia memberikan persembahan memukau malam ini.

Azmi Caliph Busker
Kebolehan Azmi dalam menyampaikan lagu dengan sangat berkesan sering mendapat pujian pihak juri. Azmi dijangka bakal memberi kejutan di malam akhir GGV dan bakal bergelar juara jika dia memberikan persembahan yang baik.

Konsert akhir Gema Gegar Vaganza akan bersiaran pada malam ini (Ahad, 21 Mei), jam 9.00 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal