Pelakon Juliana Evans mengakui kehidupannya sedikit berubah apabila telah bergelar isteri kepada Tengku Sharuffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj yang juga kerabat diraja Johor dan Selangor.

Juliana atau nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans, 27, berkata, dia harus membiasakan diri bersama pengawal peribadi kerana suami tidak membenarkan dia untuk keluar sendiri.

"Pada mulanya saya tidak faham dan tidak suka apabila orang ikut ke mana saya pergi kerana smahu bergerak bebas seperti dulu.

"Namun selepas berkahwin suami minta saya membiasakan diri dengan pengawal peribadi untuk keselamatan dan dia marah jika saya keluar seorang diri.

"Saya kekok pada mulanya, namun saya faham suami hanya mahu yang terbaik demi keselamatan saya ketika berada di luar," katanya kepada Astro Gempak.

Juliana ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah Juliana, dia bahagia dengan perkahwinan ini dan gembira apabila berpeluang memasak serta menghidangkan sarapan pagi kepada suaminya.

"Meskipun di rumah mempunyai pembantu tapi saya ingin suami merasa sendiri air tangan saya.

"Sesibuk manapun, saya akan cuba juga memasak untuk suami," ujarnya.

Juliana dan Tengku Sharuffuddin diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup pada 30 April lalu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi