Gara-gara memiliki sepasang mata berwarna biru, seorang kanak-kanak lelaki mencuri perhatian umum sehingga mendapat ancaman daripada kawan-kawannya.

Kamarul Hisham Mustaffa, 9, mengakui ramai orang tersalah anggap dirinya memakai kanta lekap hingga ada yang mahu mencungkil matanya.

"Syukur saya dianugerahkan keistimewaan ini.

"Tetapi ada kawan yang mahu korek mata saya sebab mereka sangka saya memakai kanta lekap.

"Malah mereka panggil saya dengan nama mata guli," katanya.

Kamarul yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Mempagar, Beufort, Sabah, itu merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Keunikan itu diwarisi daripada ibunya, Rosdah Abdullah, 47, yang berdarah kacukan Melayu, Brunei dan Pakistan.

Ibunya bagaimanapun memiliki warna mata biru pada sebelah kanan dan hitam di bahagian kiri.

"Selain ibu, kakak sulung saya (Nurul Syafiqa, 17) juga memiliki warna mata sama manakala ayah (Mustaffa Kamal, 48) dan abang mempunyai mata warna hitam," tambahnya.

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Kosmo!
Kredit foto: Irwan Majid/Kosmo!