Hasrat peminat untuk menyaksikan kumpulan K-Pop yang semakin popular, Seventeen untuk mengadakan konsert di Malaysia tercapai.

Seventeen yang dianggotai oleh 13 orang anak muda iaitu S.Coups, Jeonghan, Joshua, Jun, Hoshi, WonWoo, Woozi, DK, Mingy, The8, Seungkwan, Vernon dan Dino bakal hadir ke negara ini untuk konsert 2017 SEVENTEEN 1ST WORLD TOUR "DIAMOND EDGE" di Kuala Lumpur pada 9 September depan.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah syarikat pengurusan Pledis Entertainment ini mula mendapat perhatian peminat antarabangsa selepas berjaya disenaraikan dalam carta Billboard untuk kategori carta terbaik dunia menerusi album ’17 Carat’.

Selain itu, mereka juga telah memenangi anugerah ‘Best World Performer’ di Mnet Asian Music Awards tahun lalu.

Dalam pada itu, pihak penganjur konsert berkenaan, IME Malaysia memberitahu tiket konsert solo mereka di Korea habis dijual dalam masa satu minit.

2017 SEVENTEEN 1ST WORLD TOUR "DIAMOND EDGE" di Kuala Lumpur akan berlangsung pada 9 September bertempat di Stadium Negara.

Untuk maklumat lanjut, ikuti laman sosial IME Asia di Facebook, @IME_Asia (Instagram), @IMEProduction (Twitter) dan @IMEProductions (WeChat).