Pelakon Nora Danish tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang selepas namanya dikaitkan dengan luahan kekecewaan aktres Fasha Sandha di laman Instagram semalam.

Fasha menerusi dua entri di laman Instagram miliknya meluahkan rasa kecewa dan mendakwa seorang artis, yang dipercayai Nora akan menarik diri dari sebuah majlis pertunjukan fesyen sekiranya Fasha turut berada di acara tersebut.

“Kalau saya nak halau dia dari majlis, kenapa sekarang? Kenapa tidak lapan tahun lalu? Saya terkilan dengan sikap netizen yang bersifat berat sebelah.

“Sesetengah orang menyalahgunakan kuasa media sosial untuk perkara yang negatif. Saya kesal dengan tindakan segelintir netizen yang cepat menghukum dan hanya mendengar kenyataan daripada sebelah pihak.

“Buli di alam siber juga harus dihentikan. Tindakan seorang blogger yang melaporkan perkara itu secara berat sebelah juga mengecewakan saya. Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” kata Nora yang merupakan pemilik jenama fesyen OWL by ND.

Menerusi entri tersebut, Fasha terkilan apabila pihak pengurusan majlis pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri itu memberitahunya, jenama milik seorang artis akan menarik diri jika dia turut hadir ke majlis tersebut.

Luahan Fasha telah mendapat maklum balas daripada pengikutnya dan rata-rata sudah dapat meneka siapa artis yang dimaksudkan.

Tambahan lagi apabila Fasha mengucapkan ‘Selamat Maju Jaya Burung Hantu’ yang disertakan dengan hashtag #moveonplease.

Menguatkan lagi dakwaan ‘pihak yang menghalau’ Fasha itu Nora Danish apabila dia memuat naik satu lagi status berbaur sindiran dan ramai yang mengaitkan entri tersebut ditujukan kepada pelakon telemovie Kuntom itu.

Sumber: Harian Metro