Penyanyi Wany Hasrita akui bimbang akan populariti mendadak yang diraih sejak mula menjadi penyanyi awal tahun ini.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita, 25, berkata dia masih tidak percaya kini dia sudah menjadi penyanyi yang dikenali ramai.

"Saya baru sahaja mula jadi penyanyi awal tahun ini dan populariti yang saya terima agak mengejutkan.

"Pengikut saya di Instagram juga tiba-tiba meningkat daripada seribu dan kini telah mencecah 300,000.

"Ke mana sahaja saya pergi sekarang sudah ada yang mengenali dan mahu bergambar.

"Saya jadi takut pula oleh itu saya sentiasa akan beringat dan bersama ibu supaya tidak lupa diri.

"Terus-terang saya sedang biasakan dengan situasi ini," katanya kepada Astro Gempak.

Penyanyi lagu Menahan Rindu itu tercalon dalam dua kategori Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-30 (ABPBH 3.0) iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Artis Baharu Wanita Popular.

Sebagai artis baharu, Wany memberitahu dia tidak mengharap untuk menang namun cukup bertuah apabila tercalon dalam anugerah tersebut.

"Saya memang tak sangka dan tidak percaya apabila tercalon dalam kategori Penyanyi Wanita Popular kerana saya bersaing dengan nama-nama besar dalam industri seperti Ayda Jebat, Siti Nordiana, Stacy dan Amira Othman.

"Saya sudah rasa cukup bertuah apabila tercalon dengan nama-nama besar itu dan tidak mengharap untuk menang," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal