Menjelang sambutan Hari Ibu seluruh dunia yang akan berlangsung pada 14 Mei ini, pasti ramai di antara anda yang masih buntu untuk memilih hadiah buat ibu sebagai tanda penghargaan.

Namun begitu, sebenarnya tiada tarikh yang khusus untuk menghargai jasa ibu dan memberi kasih sayang kepada insan yang telah melahirkan kita.

Tetapi alangkah tersentuhnya hati ibu anda sekiranya mereka mendapat penghargaan daripada anak tersayang.

Berikut kami kongsikan cadangan barang yang boleh anda pertimbang untuk dihadiahkan kepada ibu tercinta:

1. Bunga

Mungkin hadiah ini kedengaran agak biasa kerana hampir setiap tahun pasti ramai yang menghadiahkan bunga kepada ibu mereka. Tetapi, wanita mana yang tidak gemarkan bunga kan? Menurut kajian yang dijalankan oleh American Evolutionary Psychology, mereka dapati bahawa wanita yang menerima sejambak bunga, ’mood’ mereka akan bertukar menjadi lebih positif hingga hari ketiga selepas menerima hadiah tersebut. Maka, bunga adalah antara senarai hadiah paling sesuai untuk ibu anda. Untuk jenis bunga pula, anda disarankan untuk memilih bunga orkid dan lili kerana bunga ini dapat bertahan lebih lama daripada bunga lain.

2. Beg Tangan

Tiada wanita yang tidak gembira apabila dihadiahkan dengan beg tangan. Anda disarankan untuk memilih warna dan jenama yang digemari ibu. Apa yang paling penting, beg tersebut perlu muat untuk mereka simpan barangan yang sering dibawa. Jika anda mahu lebih mudah dan bermakna, bawa sahaja ibu anda untuk memilih sendiri beg tangan yang disukai di kedai. Hal ini kerana beg tangan bukanlah sesuatu yang murah dan anda pasti inginkan ibu anda gembira dengan hadiah tersebut.


3. Minyak Wangi

Wanita dan haruman memang tidak dapat dipisahkan. Dengan menghadiahkan minyak wangi kepada ibu anda, pasti akan membuat mereka lebih gembira. Apatah lagi sekiranya ibu anda seorang pengumpul minyak wangi. Mungkin anda boleh membeli minyak wangi yang baunya sedikit lain daripada yang biasa dipakai ibu. Dapatkan bantuan daripada jurujual untuk memilih kerana mereka lebih arif untuk mencadangkan bau yang sesuai.

4. Jam Tangan

Hadiah ini mungkin boleh menjadi suatu yang sentimental bagi ibu anda. Dalam banyak-banyak senarai hadiah, jam tangan pasti akan membuatkan mereka sentiasa teringat pada anda setiap kali memakai dan melihatnya. Jadi, sekiranya ingin ibu anda sentiasa teringat akan anak kesayangannya, jam tangan adalah hadiah yang paling sesuai untuk diberi kepada mereka.

Sumber : Hotfm.com
Olahan : Izzat Ridzwan