Salah seorang ahli kumpulan Super Junior, Yesung akan hadir ke Kuala Lumpur pada 23 Mei ini bersempena konsert ’I-Seoul-U’.

Menariknya, Yesung akan turut bersama dua lagi kumpulan popular iaitu Red Velvet dan sub unit kepada NCT, iaitu NCT 127.

Yesung, atau nama penuhnya Kim Jong Woon merupakan vokalis bagi kumpulan Super Junior.

Bagi anda yang teruja untuk menyaksikan persembahan mereka di Pusat Convention Center, Kuala Lumpur nanti, di sini kami kongsikan fakta menarik tentang Yesung, Super Junior:

1. Mempunyai Daya Ingatan Yang Rendah

Bagi peminat Super Junior, anda pasti sering kali terdengar cerita tentang Yesung yang mudah lupa tentang sesuatu perkara. Pernah berlaku suatu ketika dahulu, Yesung dilihat sedang berjalan-jalan di kawasan perumahan dan ketika itu seorang peminat telah menegurnya dan bertanya apa yang sedang dia lakukan? Yesung kemudian menjawab sebenarnya dia terlupa jalan untuk pulang ke rumah lalu meminta agar peminat tersebut menghantarnya pulang.

2. Tidak Aktif Dalam Aktiviti Sukan

Sebelum ini Yesung pernah menyertai sebuah acara marathon yang dianjurkan oleh sebuah badan kebajikan. Setelah hampir tamat acara tersebut, Yesung telah pengsan dan dikejarkan ke hospital kerana terlalu penat. Berikutan insiden itu, peminat Super Junior telah beranggapan bahawa dia bukanlah seorang yang aktif dalam bidang sukan.

3. Seorang Yang Suka Ikut Perasaan

Sewaktu kecil, Yesung pernah berhasrat untuk membeli sebuah radio tetapi tidak mempunyai wang. Dia kemudian telah nekad untuk mengumpul wang dan berjimat cermat sehingga berjaya membeli radio tersebut. Namun, satu hari ibunya telah membuang radio kesayangannya itu dan akibat kecewa dan terlampau sedih, dia merancang untuk lari dari rumah.

4. Mempunyai Tabiat Tidur Yang Pelik

Tahukah anda, Yesung sebenarnya mempunyai tabiat tidur yang buruk. Dia akan beralih tempat tidur setiap 20 minit. Tabiat ini akan berlaku sekiranya dia berada di luar negara dan ketika mereka tidur di hotel. Ahli Super Junior lain yang faham dengan perangai pelik Yesung itu akan memberi kunci bilik mereka kepadanya agar Yesung dapat datang ke bilik lain dan tidur dengan selesa.

Bagi peminat-peminat yang ingin menyaksikan persembahan Yesung semasa konsert ’I-Seoul-U’, anda boleh menebus tiket bermula hari ini dan kepada pelanggan Astro, sila layari www.astrocircle.astro.com.my untuk keterangan lanjut.

Teks oleh : Izzat Ridzwan