Perlakon Aaron Aziz akui terpaksa berehat seketika daripada aktiviti lakonan kerana mengalami masalah sakit saraf ‘cervical facet arthritis’ di bahagian leher.

Menurut Aaron, akibat daripada masalah itu dia mengalami kesukaran untuk berdiri dan duduk dalam tempoh waktu yang lama.

"Saya pernah mengalami masalah yang sama ketika menjalani penggambaran filem Suamiku Encik Perfect 10 dan baru-baru ini ia menyerang kembali selepas saya mengangkat anak bongsu, Dahlia ketika bermain dengannya.

"Saya tersalah angkat dan sakit itu datang semula. Saya sudah ke hospital dan doktor memaklumkan ada saraf terperangkap di celah tulang belakang bahagian leher.

"Jika berdiri atau duduk selama sejam sakit itu akan datang semula. Selepas baring, barulah saya berasa lega.

"Doktor juga menasihatkan saya supaya lebih banyak berbaring serta tidak mengangkat benda berat dan melakukan senaman lasak sehingga saya pulih sepenuhnya," katanya.

Tambah Aaron, ketika pertama kali mengalami masalah itu, dia terpaksa berehat selama lapan bulan.

Pada 2013, Aaron pernah terbabit dalam kemalangan ketika penggambaran program realiti TV Fear Factor Malaysia.

Selain itu, dia juga pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat kecederaan ketika penggambaran.

Olahan Oleh: Rozaimi Zubaidi

Sumber: Harian Metro Online