Pemenang tempat kedua Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), kumpulan Shiro berharap supaya persembahan terakhir mereka tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Shiro yang dianggotai Ajak dan Shahrol ketika ditemui berkata, persembahan mereka tidak berkaitan dengan mana-mana pihak walaupun ada yang menganggap ia bersifat sinikal.

"Persembahan kami tidak menyindir mana-mana pihak kenapa perlu dipolitikkan?

"Rasanya tidak ada isu yang perlu dimainkan berkaitan persembahan kami kerana kami tidak menujukannya kepada sesiapa kerana ia umum.

"Lagipun jika anda mengikuti kumpulan Shiro dari Raja Lawak 6, anda pasti tahu bagaimana 'content' yang kami bawakan," kata Shiro ketika ditemui pada majlis sidang media MLM 2017, malam Jumaat lalu.

Malah menurut Shahrol, persembahan Shiro sepanjang 12 minggu di MLM 2017 mendapat reaksi positif daripada semua pihak termasuk beberapa wakil rakyat.

"Saya ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada beberapa wakil rakyat yang memuji persembahan kami.

"Mereka juga suka dengan mesej yang dibawa oleh Shiro dan meminta kami mengekalkan lawak yang menyelitkan unsur moral dan nasihat," ujarnya.

Kumpulan Shiro membawa pulang wang tunai berjumlah RM250,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Pentas akhir MLM 2017 telah berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah pada Jumaat lalu dan disiarkan secara ekslusif di Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

Layari www.maharajalawakmega.com.my untuk berita menarik tentang MLM 2017.

Foto: Bushido Production