Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza meluahkan rasa terharu apabila tempahan awal album terbarunya, SimetriSiti habis dalam masa 20 minit selepas dilancarkan.

Menurut Datuk Siti, dia berasa gembira sebaik sahaja mengetahui 300 unit album terbarunya habis ditempah sebaik sahaja penjualan dibuka menerusi portal membeli-belah Lazada.

“Banyak cabaran yang saya hadapi untuk hasilkan album ini dan saya gembira apabila mendapat tahu SimetriSiti mendapat sambutan.

“Alhamdulillah, untuk permulaan ini sudah 300 unit album terjual. Edisi ini sangat istimewa kerana mempunyai tanda tangan saya beserta poskad khas buat peminat.

"Seperti yang kita tahu, saingan terhadap pasaran digital sangat kuat oleh sebab itu saya rasa sangat terharu kerana peminat memberikan sokongan terhadap album berbentuk fizikal.

"Selain itu, mereka juga tidak jemu menyokong kerjaya saya,” katanya.

Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album SimetriSiti bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SimetriSiti akan berada di pasaran secara fizikal dan digital bermula 10 Mei ini secara serentak di Malaysia, Brunei, Singapura, dan Indonesia.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut adalah Segala Perasaan, Aku Bukan Malaikat, Manis Terindah, Bersandar Cinta, Penghiburku dan Ikrar Cinta.

Antara komposer dan penulis lirik terkenal yang bekerjasama dalam album yang mempunyai 10 buah lagu itu ialah Aubrey Suwito, Yasin Sulaiman, Opick, Habsah Hassan dan Ivan Lahardika.

Teks oleh: Mya Amri

Kredit foto: Instagram Kakifoto