Finalis Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017, Sharif Zero mengakui mengumumkan ingin berehat daripada menyertai MLM bukan gimik persembahan mereka.

Sebaliknya kumpulan Zero sudah lama merancang untuk berehat seketika daripada pertandingan tersebut.

Menurut Sharif, keputusan tersebut dibuat untuk memberi peluang kepada pelawak baru mencuba nasib di pentas MLM.

"Bukan senang untuk membuat keputusan ini, namun selepas beberapa faktor kami sepakat untuk berehat seketika.

"Kami mahu melihat lebih banyak muka baru yang mampu menghiburkan penonton di atas pentas hebat seperti MLM.

"Pelbagai pengalaman telah kami perolehi sepanjang terlibat dengan MLM jadi biarlah mereka pula lalui apa yang kami rasa.

"Namun jika masih menerima tawaran kami akan berfikir dan berbincang semula untuk masuk menyertai MLM ataupun tidak," katanya kepada Astro Gempak.

Sharif berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media minggu terakhir MLM 2017 pada Jumaat.

Mengulas mengenai persembahan terakhir Zero, Sharif menyifatkan ia sekadar pelengkap untuk gelangang akhir MLM 2017.

"Saya mengakui terdapat banyak kekurangan terhadap persembahan kumpulan kami pada malam final ini.

"Kami sangat kecewa sebenarnya kerana tidak dapat memberi kepuasan kepada peminat dan penonton di luar sana yang menyokong Zero.

"Mungkin persembahan kami sebelum ini lebih bagus dan malam ini boleh dikatakan kehadiran kumpulan Zero ini cuma untuk melengkapkan malam final ini sahaja.

"Walaupun kecewa, kami menerima keputusan dengan hati yang redha dan mungkin bukan rezeki kami untuk menjadi juara pada tahun ini," katanya.

Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej, MLM 2017 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan menampilkan Datuk Rosyam Nor, Datuk Aznil Nawawi, Neelofa dan Luna Maya sebagai juri profesional.

MLM 2017 telah berlangsung pada Jumaat, di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah dan disiarkan di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi