Anggota kumpulan NCT 127, Jaehyun meluahkan keinginan untuk berehat dan bercuti ke Bali, Indonesia.

Bagaimanapun hasratnya itu terpaksa ditangguhkan kerana kekangan masa dan jadual kerjanya terlalu padat.

“Kalau boleh saya memang mempunyai hasrat untuk berkunjung dan bercuti ke Bali kerana saya amat sukakan pantai.

“Saya juga sukakan aktiviti lasak seperti sukan air dan teringin melakukan aktiviti tersebut ketika bercuti di sana nanti,” katanya.

Jaehyun berkata demikian dalam satu temubual bersama program Ivy Club baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jaehyun juga sempat berkongsi beberapa tips untuk menjaga bentuk badan dan juga suaranya.

“Oleh kerana jadual kerja yang selalu sibuk, saya perlu memastikan diri saya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bertenaga.

“Untuk penjagaan berat badan, selalunya saya akan menjaga pemakanan dan elakkan makan malam.

“Manakala untuk suara pula saya membeli alat aroma terapi dan memasangkannya ketika waktu tidur,” ujarnya

Terdahulu, difahamkan NCT 127 bakal ke Malaysia tidak lama lagi untuk menghadiri satu acara.