Kumpulan penyanyi lagenda, Ukays bakal mengadakan persembahan buat julung kalinya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 14 Mei 2017.

Showcase yang akan bermula dari jam 3 hingga 6 petang itu turut menampilkan jemputan khas iaitu Rani Kulup bersama band Sometimes Group bagi memeriahkan acara tersebut.

Menurut Amy, yang juga merupakan ketua kumpulan Ukays, dia berpendapat bahawa dengan kehadiran Rani Kulup, pasti akan menggamatkan lagi suasana selain menampilkan kelainan dalam persembahan mereka.

“Kami memilih Rani Kulup dan Sometimes Group sebagai artis undangan kerana keunikan tersendiri selain muzik mereka yang lebih santai.

“Selain itu, saya rasakan Rani Kulup mempunyai peminat dan penyokongnya tersendiri, maka ianya amat membantu dari segi mempromosikan showcase ini,” jelas Amy kepada Astro Gempak.

Ukays yang kini dianggotai oleh Amy (gitaris), Well (bes), Tokjie (bes), Ali (dram), dan Ady (vokalis) ditemui ketika majlis sidang media Showcase Ukays di Hard Rock Café Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Menerusi showcase ini, kumpulan Ukays bakal mempersembahkan 15 buah lagu popular mereka seperti Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Pahit Akan Manis Akhirnya, Kekasihku Di Menara dan Lepaskanku Kerna Terpaksa.

Dalam pada itu, Amy berkata dia masih percaya bahawa muzik mereka masih releven dan beranggapan bahawa showcase ini adalah hadiah kepada peminat setia mereka.

“Saya berharap dengan kemunculan kami menerusi showcase ini, dapat mengubat rindu peminat-peminat yang sentiasa menyokong dan menghargai muzik kami.

“Kami juga akan menjanjikan persembahan terbaik dan apa yang pasti, penonton akan terhibur dengan persembahan ini nanti,” kata Amy lagi.

Dalam perkembangan lain, Ukays juga merancang untuk mengadakan persembahan di Hard Rock Café lain seperti di Melaka, Kota Kinabalu, Jakarta dan Singapura.

Bagi peminat yang ingin berhibur dengan persembahan Ukays boleh mendapatkan tiket di kaunter Hard Rock Café Kuala Lumpur yang berharga RM60 pada tarikh tersebut.

Teks oleh : Izzat Ridzwan