Lagu nyanyian Syamel, Aiman Tino dan Projector Band antara lagu popular pilihan kaki karaoke di Red Box.

Pengumuman tersebut dibuat pada Majlis Penghargaan Media Red Box yang berlangsung di Red Box Plus Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, majlis penghargaan tersebut akan dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi tempatan dan kakitangan syarikat rakaman.

Pada malam tersebut juga turut diumumkan 10 lagu Inggeris dan Melayu popular sepanjang 2016.

10 lagu Melayu yang kerap dinyanyikan pengunjung Red Box ialah lagu ciptaan dan nyanyian Syamel berjudul Hidup Dalam Mati, Potret (Akim & The Majistret), Sudah Ku Tahu (Projektor Band), Perawan Atau Janda (Cita Citata) dan Setia (Faizal Tahir & Elizabeth Tan), Hey! Kau (Sandra), Ku Rela Di Benci (Aiman Tino), Hancur Aku (Estranged & Fazura), Hang Pi Mana (Khalifah) dan Takkan Pergi (Hyper Act).

Aiman Tino ketika ditemui mengakui gembira apabila lagunya menjadi pilihan ramai dan akan memberikan yang terbaik kepada peminat-peminatnya menerusi lagu-lagunya pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada peminat saya yang sudi menyanyikan lagu Ku Rela Di Benci dan hadiah yang saya terima pada malam ini adalah untuk anda semua,” katanya yang turut berterima kasih kepada Red Box.

Sementara itu bagi Syamel pula, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan ketika single pertamanya itu dilanda kontroversi.

“Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika ini kerana lagu ini banyak ‘cerita’ dan ‘kenangannya’. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” ujarnya.