Pelakon Ezzaty Abdullah akui telah mengurangkan tawaran berlakon demi memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya sebagai isteri.

Ezzaty berkata dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama suaminya, Azwan Kombos selepas bernikah Julai tahun lalu.

"Selepas berkahwin saya cuba untuk tidak mengambil terlalu banyak tawaran berlakon dalam satu masa.

"Meskipun bekerja saya mahu membahagikan masa untuk Azwan dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

"Jika bukan kerana Azwan juga, saya sebenarnya lebih gemar menerima satu tawaran sahaja dalam satu masa kerana tidak mahu menyusahkan ramai orang yang terlibat termasuk produksi berkenaan.

"Yelah, jika saya terima banyak tawaran saya tak mahu kelak ia akan bertindih dengan jadual penggambaran drama lain," katanya kepada Astro Gempak.

Ezzaty berkahwin dengan pelakon Azwan Kombos pada 16 Julai 2016 dalam sebuah majlis yang diadakan di kediaman aktres itu di Bentung, Pahang.

Pun begitu, Ezzaty memberitahu dia tiada had untuk menerima tawaran berlakon di luar kawasan.

"Tiada had untuk menerima mana-mana tawaran berlakon yang memerlukan saya untuk ke luar kawasan atau luar dari Kuala Lumpur.

"Azwan seorang suami yang faham akan kerja saya sebagai pelakon dan dia tidak kisah.

"Namun jika saya menjalani penggambaran di luar kawasan saya akan pastikan saya pulang dan tidak bermalam di sana meskipun jauh seperti di Melaka.

"Produksi faham dengan pendirian saya yang akan pulang selepas selesai penggambaran pada hari berkenaan dan saya akan pastikan saya datang awal keesokannya mengikut call time yang diberikan," katanya lagi.