Konsert keempat Gema Gegar Vaganza (GGV) telah berlangsung dengan meriah di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras malam tadi.

Bertemakan Gema Mestika, lapan bintang GGV menyampaikan lagu tugasan masing-masing dengan penuh semangat.

Ana Raffali yang menyampaikan lagu Balqis menjadi bintang ketiga yang tersingkir manakala Hijjaz yang menyampaikan lagu Ya Maulana mengungguli tempat teratas minggu keempat.

Mirwana yang menyampaikan lagu Raikan Cinta dipilih sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori karya kreatif atas persembahan mereka yang memukau.

Pemenang menerima wang tunai bernilai RM5,000 sumbangan Kopi Pak Belalang. Setiap minggu, hadiah akan disalurkan kepada badan amal atau individu yang memerlukan.

Semua peserta GGV memberikan saingan sengit membuatkan juri tetap Farihin Abdul Fattah, Oki Setiana Dewi dan juri jemputan Datuk Ramli MS sukar untuk menentukan siapa yang layak berada di kedudukan pertama.

Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan format pemarkahan 100% oleh juri profesional dan komen-komen yang telah diberikan:

Hijjaz - Ya Maulana
"Saya suka dengan persembahan kamu, saya tak dengar merdu. Sebutan, jiwa kami semua sederhana dan dia kedengaran betul untuk menyampaikan lagu ketuhanan. Kumpulan kamu tiada galang ganti," - Datuk Ramli MS.

Hafiz Hamidun - Nour El Ein
"Saya suka karakter vokal kamu apabila kamu menyampaikan lagu ini. Tapi saya kurang gemar visual di belakang kamu," - Datuk Ramli MS.

Mirwana - Raikan Cinta
"Kali pertama saya melelehkan air mata sewaktu Mirwana menyanyikan lagu ini. Penuh maknanya, ini satu persembahan yang epik bagi saya," - Farihin Abdul Fattah.

Azmi Saat - I Believe I Can Fly
"Minggu ini benar-benar kami terbang. Terima kasih kerana anda membawa kami semua terbang malam ni," - Farihin Abdul Fattah.

UNIC - Ghazal Untuk Rabiah
"Setiap minggu saya melihat UNIC menyampaikan lagu dengan sangat santai. Saya suka kamu menyampaikan lagu ini kerana dakwah ini berjalan dengan menyenangkan dan berlangsung dengan santai," - Oki Setiana Dewi.

Saujana - Heal The World
"Saya suka penampilan anda semua malam ini. Saya suka persembahan dan tenaga yang Saujana tampilkan," - Oki Setiana Dewi.

Wani - Kun Anta
"Wani patut lebih rileks sedikit. Minggu ini bunyinya tercungap. Lagu minggu lalu yang sepatunya anda tercungap, anda dapat sampaikan dengan baik. Tapi lagu minggu ini, sebaliknya berlaku," - Farihin Abdul Fattah.

Ana Raffali - Balqis
"Saya suka konsep yang disampaikan, tak banyak pergerakan, sesuai dengan penampilan muslimah wanita. Saya suka persembahan Ana malam ini," - Oki Setiana Dewi.

GGV bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu kelima GGV bakal membawa tema Bergabung Bergema dan tujuh bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal