FILEM: You Mean The World To Me

PENGARAH: Saw Teong Hin

PELAKON: Frederick Lee, Yeo Yann Yann, Neo Swee Lin, Steve Yap, Sue Tan, dan Chelsia Ng.

PENERBIT: Astro Shaw dan Real Films

TARIKH TAYANGAN: 4 Mei 2017



Selepas kejayaan menghasilkan filem Puteri Gunung Ledang pada 2004 dan berjaya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18, Saw Teong Hin kembali dengan naskhah terbarunya, You Mean The World To Me (YMTWTM).

Filem yang akan ditayangkan bermula 4 Mei ini diinspirasikan daripada kisah kehidupan keluarga Saw Teong Hin sendiri.

Saw Teong Hin mula menulis skrip filem ini sejak tahun 2009 dan setiap plot yang ditampilkan mengandungi elemen kasih sayang serta pengorbanan di dalam sesebuah keluarga.

Istimewanya, filem ini merupakan filem Penang Hokkien pertama di dunia. Selain daripada menggunakan bahasa tersebut, YMTWTM turut memperkenalkan tajuk filem dalam bahasa Hokkien iaitu Hái-Kînn Sin-Lōo.

Turut memaparkan budaya dan warisan negeri Pulau Pinang, filem ini juga mengangkat mertabat figura bernama Ibu yang telah banyak berkorban dan memainkan peranan paling penting dalam kehidupan kita.



Menarik lagi, YMTWTM mendapat sentuhan sinematografer terkenal iaitu Christopher Doyle. Turut serta menjayakan filem ini adalah editor dan sinematografer Liao Ching-Song yang pernah terlibat dalam The Assassin.

Pengarah, Teong Hin berkata filem ini dihasilkan untuk meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya dan sebagai tanda kasih sayang kepada ibunya yang telah meninggal dunia.

”Apabila saya kehilangan ibu pada tahun 1999, kehidupan saya mula bercelaru. Saya sedar bahawa banyak perkara yang saya abaikan sebagai seorang anak ketika ibu masih hidup.

”Malah, ada juga yang tidak sempat untuk diluahkan. Filem ini merupakan salah satu cara saya ubati perasaan yang terpendam. Sebenarnya, keseluruhan proses pembikinan filem ini membantu saya berasa lebih tenang,” jelas Teong Him yang mahu penonton menghargai ibu mereka yang masih bernyawa.



YMTWTM turut membariskan para pelakon hebat dari Malaysia dan Singapura seperti Frederick Lee, Yeo Yann Yann, Neo Swee Lin (pelakon siri Phua Chu Kang sebagai emak), Steve Yap, Sue Tan dan Chelsia Ng.



Teks oleh : Izzat Ridzwan