Kurus sering dikaitkan dengan cantik, berkeyakinan, sihat dan paling penting apa jua yang disarung di badan si kurus nampak terletak elok. Menjadi kurus itu satu impian buat mereka yang bertubuh gempal sehingga ramai yang sanggup mengambil risiko menggunakan jalan pintas untuk kurus dengan cepat. Sejauh mana jalan pintas yang diambil ini selamat? Atau mungkin selama ini anda mengamalkan diet yang salah?

1) Skip Waktu Makan

Berapa ramai yang skip waktu makan terutamanya sarapan pagi untuk kurus? Sarapan pagi penting untuk bekalkan tenaga sepanjang hari. Sebaiknya ambil sarapan berunsur fiber dan protein seperti roti gandum, ayam dan telur dan jauhi makanan yang tinggi kandungan gula. Pengambilan sarapan yang tepat boleh mengurangkan nafsu makan melampau sepanjang hari. Jika anda skip waktu makan, lemak-lemak degil pada tubuh tidak hilang sebaliknya berat badan berkurangan disebabkan kehilangan otot.

2) Crash Diet



Diet ‘kaw-kaw’ untuk kurangkan berat badan dengan cepat dengan menggunakan teknik ‘popular’ tinggi protein rendah karbohidrat. Diet ini tidak boleh dilakukan berterusan kerana boleh memberi kesan kepada buah pinggang. Dan, jangan pula kerana terlalu taksub dengan diet, anda menderita penyakit anoreksia.

3) Tidak Perlu Bersenam



Alasan utama untuk tidak bersenam ialah tiada masa sehingga ramai menggunakan teknik berlapar untuk turun berat badan. Anda mungkin berjaya mengurangkan berat badan tetapi bentuk badan idaman dan sihat hanya boleh didapati dengan senaman. Senaman mengeluarkan tenaga daripada makanan agar tidak ditukar menjadi lemak. Teknik berlapar jika dilakukan secara berterusan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, haid tak teratur, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah turun.

4) Cheat Day Bukan Hari Lupa Diri

Enam hari dalam seminggu sudah bersenam dan kawal pemakanan, sehari sahaja dalam seminggu kita makan apa sahaja termasuk makanan manis seperti kek, ais krim, berpinggan nasi dan lauk pauk berminyak. Mulalah rasa pedih ulu hati, tak sedap perut dan kembung, lebih teruk badan akan menjadi letih dan anda mula tidur bagi mengatasi ketidakselesaan perut. Tu belum masuk jumlah kalori yang diambil sehari, boleh atasi jumlah lemak yang berjaya dinyah keluar dalam seminggu!

5) Makan lemak boleh menyebabkan tubuh anda gemuk dan berlemak?

Tak hairanlah ramai yang mencari makanan bebas lemak. Hakikatnya makanan jenis ini lebih berbahaya kerana mengandungi kandungan gula, garam dan serbuk perisa yang tinggi bagi memberikan tekstur serta rasa yang sedap.


Tapi diet bagaimana pula yang dikatakan sebenar-benarnya diet? Laman web MyHealth menyediakan garis panduan dalam berdiet. Paling penting makan ikut keperluan tubuh dengan setiap hidangan lengkap dengan segala gizi serta nutrisi yang diperlukan.

1) Bersenam secara berkala sekurang-kurangnya 3 kali seminggu atau senaman dengan melakukan kerja-kerja rumah antara 5 ke 6 kali seminggu.

2) Timbang berat badan secara tetap, sekurang-kurangnya 1 kali seminggu dan ketahui Indeks Jisim Tubuh, IJT (Body Mass Index, BMI) dengan menggunakan formula di bawah. Anda mempunyai berat badan normal jika IJT berada antara 18.5 hingga 24.9.

Berat

Tinggi (m) X Tinggi (m)

3) Makan nasi dan bijirin secukupnya terutamanya yang tinggi kandungan serat, rendah lemak, rendah gula dan rendah garam.

4) Makan pelbagai jenis buah-buahan sebanyak 2 sajian setiap hari dan sayur-sayuran sebanyak 3 sajian setiap hari dan minum 6 hingga 8 gelas gelas air kosong setiap hari.

5) Ambil protein secara sederhana dan lebihkan pengambilan ikan dengan cara penyediakan kurang berminyak seperti mengukus dan memanggang.



6) Minum susu dan ambil produk tenusu 1 hingga 2 sajian sehari. Gantikan susu pekat manis dengan susu segar atau tepung dan elakkan menambah gula dalam minuman.

Tiada jalan pintas untuk berjaya, sama juga seperti keinginan untuk kurus dan sihat perlu disusuli dengan pengambilan makanan berkhasiat dan senaman. Jangan lakukan sesuatu perkara membuta tuli, ikut trend tapi lengkapkan diri dengan ilmu. Jom uji sejauh mana anda mengetahui tentang ilmu kesihatan di http://www.myhealth.gov.my/. Siapa tahu andalah insan bertuah yang bakal membawa pulang hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

Kredit foto: Shutterstock