Pernah dikutuk mempunyai suara seperti chipmunk, penyanyi Nabila Razali mengambil kritikan tersebut sebagai cabaran.

Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013 (AF2013) ini kini mampu tersenyum kerana single miliknya yang berjudul Cemburu mendapat tempat di hati pendengar.

"Saya memang pantang dicabar. Ketika di AF2013, ada yang memberikan kutukan dengan menggelarkan suara saya seperti chipmunk. Saya sendiri mengambil perkara tersebut sebagai cabaran untuk saya melakukan dengan lebih baik lagi.

"Selepas tamatnya AF2013, saya bermula dari bawah dan saya gembira kerana akhirnya saya mendapat perhatian dan lagu saya berjaya menempatkan diri di beberapa carta lagu popular stesen radio," kata Nabila kepada Astro Gempak.

Melebarkan sayap dalam bidang lakonan, Nabila bakal muncul dalam drama bersiri pertamanya yang berjudul Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

"Menerusi drama bersiri adaptasi novel tersebut, saya menggalas tugas untuk membawakan watak utama.

"Saya membawa watak Wafeen Wardah dan menerusi Hikayat Cinta Si Pematah Hati, saya bergandingan dengan Alif Satar. Saya tidak sabar untuk menantikan tayangan drama bersiri ini tidak lama lagi," katanya.

Selain Nabila dan Alif, Hikayat Cinta Si Pematah Hati turut membariskan Hafreez Adam, Yaya Zahir, Nadiyah Shahab dan ramai lagi.

Drama bersiri ini akan mula bersiaran pada 24 April jam 10.00 malam, setiap Isnin hingga Khamis hanya di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Teks oleh: Kamaruddin Razal