Penyanyi Datuk Hattan mengakui sudah menyerahkan sepenuhnya kepada peguam mengenai dakwaan mengatakan dia menipu pasangan suami isteri berjumlah RM1 juta.

Hattan atau nama penuhnya, Mohd Shukri Shahabudin, 53, berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu dan masih menunggu untuk tindakan seterusnya.

"Saya sudah agak soalan ini pasti keluar. Kalau nak tahu saya sudah membuat laporan polis, minggu lalu dan menyerahkan perkara ini kepada peguam.

"Selebihnya saya tak nak komen," katanya ringkas sebelum berlalu pergi.

Pada 9 Mac lalu, seorang wanita memuat naik video di Facebook mengenai kisah muflis yang ditanggung bersama suami gara-gara penyanyi itu sehingga terpaksa menanggung hutang hampir RM1 juta

Video berdurasi 20 minit 30 saat yang mendedahkan dakwaan penipuan penyanyi itu mulai tular dan mendapat simpati pengguna laman sosial.

Video itu ditonton lebih 25 ribu pengguna dan mendapat perkongsian hampir 380 pelayar.

Tidak terhenti setakat itu, wanita terbabit mendedahkan pula dokumen syarikat yang masih disimpan sebagai bahan bukti yang mengaitkan penyanyi itu.

Daripada satu dokumen itu tertera nama sebenar dan tanda tangan penyanyi itu.

Difahamkan masalah itu berlarutan sejak 15 tahun lalu.

Sumber: Harian Metro