Seorang anggota kumpulan Boys24, Hwayoung disingkirkan dari kumpulan itu selepas rakaman suaranya mengutuk peminat menjadi viral.

Menurut agensi pengurusannya, CJ E&M, kontrak Hwayoung bersama Boys24 telah pun dibatalkan bagi mengelakkan kontroversi yang boleh merosakkan reputasi kumpulan tersebut.

Selain itu, agensi kumpulan itu juga turut meminta maaf kepada peminat berkenaan bagi pihak Boys24.

“Pertama sekali kami ingin memohon maaf kepada peminat Boys24 yang terasa hati dengan kenyataan Hwayoung.

“Tindakan telah pun diambil dan kami ingin memaklumkan Hwayoung telah disingkirkan daripada kumpulan Boys24 manakala kontraknya sebagai artis juga telah dibatalkan.

“Kami juga bimbang sekiranya kontroversi ini akan merosakkan imej anggota lain yang sememangnya menghargai peminat mereka.

“Sebab itu kami mengambil keputusan untuk singkirkan Hwayoung daripada Boys24. Sekali lagi kami ingin memohon maaf kepada peminat yang sentiasa menyokong Boys24,” jelasnya.

Terdahulu, menerusi rakaman suara yang tersebar, Hwayoung menyatakan dia menyampah ketika bertemu peminatnya dan berasa ingin muntah kerana terbau nafas seorang peminatnya.

“Saya suka dipanggil abang tetapi bukan menerusi mulut peminat, bencinya. Bagi saya panggilan itu sangat menjengkelkan lebih-lebih lagi ketika melakukan sesi Hi-Touch.

“Kamu tahu Hi-Touch? Itu merupakan sesi bertemu peminat dan saya perlu bersalaman dengan peminat dan bersapa dengan mereka sebaik sahaja persembahan selesai.

“Setiap hari saya terpaksa berhadapan dengan 700 hingga 800 peminat dan itu membuatkan saya rasa seperti nak muntah dengan bau nafas mereka yang busuk,” katanya.

Boys24 merupakan sebuah kumpulan K-pop yang ditubuhkan menerusi program realiti televisyen.

Olahan: Mya Amri

Sumber: Koreaboo