Seorang pemilik kedai gunting rambut di Jawa Barat, Indonesia menawarkan perkhidmatan memotong rambut percuma kepada para pelanggannya sepanjang Ramadan tahun ini.

Dia yang dikenali sebagai Asep Irawan Hidayat, pemilik Raihan Barbershop hanya meminta pelanggan membaca ayat Al-Quran sebagai ‘bayaran’ untuk memotong rambut di kedainya.

Menerusi video yang dimuat naik pemilik akaun ‘Update Selalu’ di laman sosial Youtube, Asep dikatakan menawarkan perkhidmatan tersebut bermula 6 Jun (1 Ramadan) sehingga 28 Jun (23 Ramadan) ini.

Menurut Asep dia menawarkan perkhidmatan tersebut supaya para pelanggannya lebih dekat dengan Al-Quran, lebih-lebih lagi pada bulan penuh kemuliaan ini.

Tambah Asep lagi, sekurang-kurangnya dia dapat mencari pahala selain menggunting rambut.

Menerusi laporan portal Pikiran Rakyat, Asep memberitahu tiada syarat tertentu dikenakan kepada pelanggan untuk membaca berapa banyak ayat dan surah daripada Al-Quran.

“Asalkan mereka ikhlas membaca Al-Quran sambil menanti giliran tiba. Saya tidak kisah berapa muka surat pun mereka baca, sepotong atau dua potong ayat sudah memadai.

“Sekurang-kurangnya dapat juga saya menambah pahala sambil mencari rezeki,” kata lelaki berusia 42 tahun itu.

Sepanjang Ramadan ini, promosi tersebut bermula selama dua jam setiap hari bermula 7 hingga 9 pagi setiap hari.

Pelbagai cara dilakukan umat islam untuk menambah pahala di bulan Ramadan. Ini cara Asep #berikanmasa kepada dirinya untuk mengajak pelanggannya lebih dekat dengan Al-Quran sekaligus mengumpul pahala.

Saksikan video di bawah untuk melihat sendiri suasana di kedai gunting rambut Asep:

(Sumber video: Update Selalu, Foto: Pikiran Rakyat & viva.co.id)