Yasin Sulaiman Ambil Masa 2 Tahun Rakam Album Baru

11 Ogos 2016. 5.33 PM
11,563
Hiburan
Yasin Sulaiman Ambil Masa 2 Tahun Rakam Album Baru

Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman mengambil masa dua tahun untuk merakamkan album solo terbarunya.

Bakal dilancarkan pada Oktober ini, Yasin terlebih dahulu  muncul dengan single berjudul Muzik.

“Setelah hampir lapan, Muzik merupakan buah tangan terbaru dari saya. Apa yang membezakan Muzik berbanding lagu-lagu saya sebelum ini adalah susunan lagu yang lebih catchy dan relaks.

“Lagu ini juga menjadi single pertama saya sebelum album solo penuh muncul pada bulan Oktober nanti. Album ini mengambil masa dua tahun untuk diterbitkan dan saya berharap agar album ini diterima oleh orang ramai,” kata Yasin kepada Astro Gempak.

Mengakui mengambil risiko untuk menerbitkan album solo terbaru, Yasin turut berkolaborasi dengan Faizal Tahir.

“Album tersebut diterbitkan oleh saya sendiri. Selain memuatkan lagu-lagu solo saya, album ini juga mengandungi sebuah lagu duet saya bersama Faizal Tahir.

“Bagi saya, proses pembikinan sebuah album baru mengambil risiko yang besar. Pastinya ada yang suka, ada yang tidak suka. Sebelum saya mahu mengajak orang lain yang mendengar album ini suka dengan karya terbaru saya, saya sendiri harus menggemarinya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Yasin bersama kumpulan Brothers bakal terlibat dengan Konsert 3 Kejora Bersatu bersama kumpulan Rabbani dan Hijjaz pada 7 dan 8 Oktober ini.


Artikel Berkaitan


Komen