Afgan Teruja Berkolaborasi Dengan SonaOne

15 Ogos 2016. 12.20 PM
9,872
Hiburan
Afgan Teruja Berkolaborasi Dengan SonaOne

Penyanyi terkenal Indonesia, Afgansyah Reza teruja kerana dapat berkolaborasi dengan penyanyi rap Malaysia, SonaOne dalam album terbarunya, Sides.

Bekerjasama dalam dua buah lagu yang berjudul Rollercoaster dan X, Afgan meminati karya SonaOne sebagai seorang composer dan penyanyi berbakat besar.

“Menerusi album terbaru saya yang berjudul Sides, saya bersama Sona mencipta dan menerbitkan dua buah lagu. Lagu berjudul X juga turut menampilkan Sona sebagai penyanyi.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk menjalin kolaborasi bersama Sona kerana kagum dengan bakatnya dalam bidang muzik,” kata Afgan kepada Astro Gempak.

Bakal menyampaikan lagu kolaborasinya bersama Sona buat pertama kalinya di Konsert Sides yang bakal berlangsung pada 3 September depan, Afgan juga bakal menyampaikan lima buah lagu nyanyian asal artis Malaysia.

“Konsert tersebut bakal menyaksikan pecahan tiga segmen berbeza. Saya boleh katakan yang konsert ini sebagai tanda kematangan saya dan konsert ini juga lebih bersifat peribadi berbanding konsert sebelum ini.

“Saya juga bakal menyanyikan lagu-lagu penyanyi tempatan yang saya minati sebagai tribute untuk mereka. Buat masa ini, biar saya merahsiakan lagu-lagu tersebut untuk dijadikan sebagai elemen kejutan untuk konsert itu nanti,” katanya lagi.

Konsert Sides bakal diadakan pada 3 September depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Selain PWTC, jelajah konsert Sides turut diadakan di lima bandar di Indonesia termasuk Jakarta, Medan, Bandung, Makasar dan Lampung bermula 27 Ogos ini.

Sebagai penutup, Afgan bakal mengadakan konsert sama di Espelanade, Singapura pada November depan.

Tiket konsert yang dianjurkan oleh Dazzling Lifestyle dijual pada harga RM188, RM288, RM388, RM488, RM588 dan RM788.

Untuk tujuan pembelian, layari laman web Ticket Charge di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-92228811 atau 03-79825523.


Artikel Berkaitan


Komen