Ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 50, mendedahkan suaminya, Azhar Ghazali gembira selepas dia mengambil keputusan untuk berhijab semenjak Ramadan lalu.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat tenang selepas mengambil keputusan untuk berhijab. Semuanya bermula pada Ramadan lalu. Saya berbual dengan suami dan dia bertanya, adakah saya mahu memakai tudung?

“Saya terus bersetuju dan suami saya sangat gembira dengan keputusan yang saya lakukan ini. Jika dia gembira, saya turut merasakannya. Syukur, segalanya dipermudahkan. Peminat juga memberikan maklumbalas positif mengenai imej baru saya,” kata Ella kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai kerjayanya sebagai penyanyi rock dengan imej barunya yang kini anggun bertudung, Ella akan menyesuaikan penampilan tersebut di atas pentas.

“Kerjaya masih berjalan seperti biasa. Saya akan membataskan pergerakan di atas pentas, tidaklah lincah seperti dahulu dan semuanya akan bersesuaian dengan imej terbaru saya.

“Album studio terbaru saya juga bakal muncul di pasaran pada penghujung tahun ini. Saya berharap agar semuanya dapat menerima buah tangan terbaru saya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran program Lara Oh Lara di Blokke Café, Citta Mall pada Isnin.

Menerusi program tersebut, Ella menyanyikan lagu tema bagi program ini yang berjudul Permata, ciptaan sepenuhnya oleh DJ Fuzz.

Lara Oh Lara yang merupakan program realiti terbaru Astro yang mengikuti kisah si kecil Lara Alana, akan mengisi slot eBu setiap Rabu, jam 9.00 malam di saluran 104, Astro Ria dan saluran 123, Astro Ria HD bermula 17 Ogos ini.