Pengacara Akademi Fantasia (AF 2016), Zizan Razak menafikan pelakon Mira Filzah bakal digandingkan dengannya di pentas program realiti tersebut.

Nama Mira Filzah dikaitkan dengan program tersebut apabila Zizan memberi ‘klu’ pasangannya sebagai pengacara AF 2016 bermula dengan huruf ‘M’.

Bagaimanapun Zizan kemudian menafikan Artis Baru MeleTOP 2016 itu merupakan gandingannya di konsert AF 2016 yang bakal bersiaran Ahad ini.

“Saya teruja diberi peluang sekali lagi untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Akademi Fantasia.

“Ini adalah tahun keempat sebagai hos AF. Sebelum ini pun kalau kita lihat memang ada pertukaran pengacara dan secara jujurnya saya sendiri tidak tahu siapa pasangan saya musim ini.

“Tentang pemilihan pengacara itu adalah diluar bidang kuasa, semuanya bergantung pada pihak produksi.

“Saya tidak kisah siapa pun pasangan saya, yang penting adalah keserasian kami sewaktu mengendalikan program berkenaan,” katanya kepada Astro Gempak.

[BACA] 14 PELAJAR, PENGACARA AF2016 DIPERKENAL

Sementara itu, mengenai pengetua akademi musim ini, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, persoalan itu akan terjawab sewaktu konsert pertama berlangsung.

"Selain pengetua, kami juga akan mengumumkan pengacara bersama rancangan itu yang akan mengendalikan konsert mingguan di sisi Zizan," katanya.

Sebelum ini, penyanyi dangdut, Mas Idayu, dan pelakon yang juga pengarah, Ellie Suriaty, diberikan mandat sebagai tenaga pengajar musim 2016.

Masing-masing akan menggalas tugas Guru Persembahan Vokal dan Guru Seni Persembahan.

Selain itu, AF2016 turut mengumpulkan bekas tenaga pengajar AF lain iaitu Linda Jasmine yang dilantik menjadi Guru Tarian & Koreografi, manakala Shahrolbahri sebagai Guru Vokal.

Bekas Pengetua AF2015, Edry Abdul Halim, pula akan kembali selaku Pengarah Seni Muzik.

Pengacara program hlive!, Dahlia Shazwan, Hazeman Huzir dan CK Faizal pula akan mengendalikan program Diari AF2016 secara bergilir-gilir.

Konsert mingguan AF2016 disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9 malam secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Sementara itu rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi boleh ditonton menerusi Diari AF 2016 pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 15 Ogos di saluran sama.