Pelakon Pekin Ibrahim geram apabila filem debut arahannya bersama pengarah Syafiq Yusof, Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit dipertikaikan baru-baru ini.

Pertikaian timbul apabila Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia, Datuk Yusof Haslam dituduh menggunakan pengaruhnya sehingga filem anaknya, Munafik dan Mat Motor: Kami Mat Motor Bukan Mat Rempit terbitan Skop Production tersenarai sebagai finalis Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28).

“Pada awalnya saya rasa geram apabila filem saya dipertikaikan. Kenapa dipertikaikan? Buruk sangat ke filem saya ni? Namun begitu, saya rasa kasihan kepada Datuk Yusof.

“Datuk Yusof tiada kena mengena dengan perkara ini tetapi turut terpalit sama. Saya tak kenal siapa juri dan saya juga tidak melobi mana-mana pihak. Juri nampak sesuatu menerusi filem saya dan mengiktirafnya menerusi pencalonan.

“Bagi saya, pencalonan ini adalah rezeki. Lama kelamaan, saya malas mahu memikirkan mengenai pertikaian tersebut dan akhirnya saya jadi tak kisah,” kata Pekin kepada Astro Gempak.

Pada mulanya, Pekin hanya menaruh harapan kepada gandinggannya dalam filem tersebut, aktres baru Falisha Crossley untuk tercalon dalam FFM 28.

“Saya hanya berharap Falisha tercalon dalam kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik. Tidak sangka pula filem pertama saya mendapat lapan pencalonan dalam FFM 28.

“Saya bersyukur dan menerima perkara ini dengan hati terbuka,” kata Pekin yang ditemui di sidang media memperkenalkan pengacara dan penyampai trofi FFM 28 di Hotel Park Royal pada Selasa.

Menerusi sidang media tersebut, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad diumumkan sebagai pengacara malam kemuncak FFM 28. Majlis gilang gemilang ini bakal berlangsung pada 3 September depan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Jangan lupa saksikan FFM 28 di Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123) bermula jam 9.00 malam.