Konsert Cinta Tonjol Kebolehan Nadira Adnan

20 Ogos 2016. 2.52 AM
32,871
Hiburan
Konsert Cinta Tonjol Kebolehan Nadira Adnan

Konsert Cinta yang berlangsung di pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya malam tadi menjadi salam perkenalan manis buat penyanyi baru, Nadira Adnan.

Menjadi konsert pertamanya di Malaysia, konsert anjuran Mawlaya Network ini berjaya menonjolkan kebolehan Nadira dalam industri muzik tempatan.

Muncul dengan album pertama yang berjudul Isi Hati yang dipasarkan di negara Indonesia dan Malaysia tahun ini, Nadira nyata tidak hanya bersandar dengan wajah jelita semata-mata kerana dia juga mempunyai bakat untuk dipersembahkan kepada peminat industri muzik.

Turut bergandingan dengan penyanyi yang mempunyai nama besar seperti Amy Search, Yuna, Noh Salleh dan Joe Flizzow, Nadira kelihatan tidak canggung berduet dengan mereka.

Antara lagu yang dipersembahkan pada konsert tersebut ialah Ini Tuh Tak Baik, Sayang, I'm In Love, Cinta Apa Macam Begini, Isi Hati, Januari Yang Terindah, Apa Khabar (duet bersama Joe Flizzow), Sang Penikam (duet bersama Noh Sallah), Fantasia Bulan Madu (duet bersama Amy Search) dan Terukir di Bintang (duet bersama Yuna).

Kemunculan Al-Ghazali, anak kepada komposer terkenal Indonesia Ahmad Dhani mendendangkan lagu Cinta Datang dan Pergi bersama Nadira menambahkan kemanisan Konsert Cinta.

Walaupun ada yang berpendapat Istana Budaya merupakan sebuah pentas yang terlalu besar untuk Nadira mengadakan konsert perdananya, gadis yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan itu tetap menampilkan persembahan terbaik persis seorang penyanyi berpengalaman.

Busana yang digayakan oleh Nadira sepanjang konsert ini turut mencuri tumpuan. Empat persalinan busana yang dipakai oleh Nadira menyerlahkan lagi kejelitaannya di atas pentas.

Penataan pentas, efek grafik serta pencahayaan harus diberikan pujian kerana tiga elemen ini mengangkat Konsert Cinta dalam kelas yang tersendiri, persis konsert antarabangsa.

Semoga kehadiran Nadira bakal menyemarakkan lagi industri muzik, bukan sahaja di Malaysia atau Indonesia, malah di persada antarabangsa.

Kredit Foto: Instagram @mozawahyu 


Artikel Berkaitan


Komen