Keberanian seorang wanita dikenali sebagai Eyvon Lee menyarungkan medal emas dimenanginya ketika di tadika ke leher jaguh badminton negara wajar diberi pujian.

Semangat yang ditonjolkannya ketika menyambut kepulangan wira negara dari Rio telah mendorong keberaniannya untuk mendekati Datuk Lee Chong Wei (DLCW).

Lebih menarik lagi, DLCW tidak menolak permintaan wanita tersebut untuk menyarungkan medal emas yang dimenanginya ketika di tadika ke leher.

Eyvon Lee menerusi entri Instagramnya telah menulis "One of the bravest thing I have done: Stand up in the press conference and tell DLCW, you are the winner for the nation, can I hand you one of the gold medal I won when I was in tadika? And he says ‘yes!’. You have make us very proud Datuk and team ! #projectgoldforlcw #ilovemyjob,”

Syabas Eyvon! Kami di Astro Gempak berbangga mempunyai mempunyai sahabat seperti anda kerana keberanian yang ditonjolkan.

Eyvon Lee merupakan seorang eksekutif di portal berbahasa cina, Astro Ben Di Quan.

Selain Eyvon, seramai 3,000 penyokong menyambut ketibaan atlet Sukan Olimpik Rio 2016 di Kompleks Bunga Raya petang semalam.

Mereka menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika tujuh atlet tiba ke kompleks itu pada jam 3 petang.

Najib turut mengumumkan penambahan insentif kemenangan daripada RM300,000 kepada RM500,000 bagi pemenang perak manakala daripada RM100,000 kepada RM300,000 untuk pemenang gangsa.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan menteri-menteri kabinet yang lain.

Sambutan meriah diterima Datuk Lee Chong Wei, yang menang perak badminton perseorangan lelaki, beregu lelaki, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem (perak), beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (perak), pasangan penerjun 10 meter platform, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (perak).

Kesemua mereka menerima jambangan bunga daripada Perdana Menteri.

Pemenang pingat gangsa acara berbasikal Azizulhasni Awang sudah pulang lebih awal sebelum ini.

Penyokong yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk atlet-atlet pelapis negara daripada pelbagai jenis sukan bersorak menyatakan rasa bangga mereka sambil membawa plakad kata-kata semangat.