Tiga Minggu Kami Fikir Nama Aisy Mateen – Fadzil Zahari

26 Ogos 2016. 5.13 PM
258,747
Hiburan
Tiga Minggu Kami Fikir Nama Aisy Mateen – Fadzil Zahari
Selepas tiga minggu putera sulung mereka dilahirkan, Fadzil Zahari dan Yana Samsudin sepakat untuk menamakan bayi comel itu Aisy Mateen.

Fadzil ketika dihubungi Astro Gempak berkata, nama Aisy Mateen yang membawa maksud ‘kehidupan atau Kemewahan yang teguh’ dipilih oleh dia dan isteri, Yana Samsudin.

“Ketika saya dan isteri mencari nama untuk Aisy Mateen, kami seboleh-bolehnya mahu ia membawa maksud yang baik-baik dan sedap didengar.

“Selain itu, kami juga ingin nama yang dipilih betul-betul sesuai dengan dia kerana menurut kata orang tua-tua, nak bagi nama pada anak kena teliti, jangan main ‘bubuh’ asal sedap bunyi saja.

“Saya juga ada merujuk dengan teman yang bekerja di JAKIM dan seorang lagi sahabat yang belajar di Mekah tentang nama yang kami pilih untuk anak kami.

“Alhamdulillah maknanya ‘tidak lari’ seperti yang kami rujuk di dalam buku dan mereka turut memberitahu ‘Mateen’ berasal dari 99 nama Allah,” jelasnya ketika dihubungi Astro Gempak.

Tambah Fadzil, sejak bergelar bapa dia semakin matang dan merasakan tanggungjawab terhadap rumah tangga semakin menebal.

“Fasa kehidupan terus berubah, dari bujang, hidup berdua dan seterusnya memiliki anak. Kalau dulu (masa bujang) orang kejut suruh bangun tidur pun saya buat tak reti.

“Tetapi bila ada anak letih macam mana pun, saya tetap akan bangun. Entah dari mana kekuatan tu datang, saya pun tak tahu,” katanya.

Dalam pada itu, Fadzil tidak menolak sekiranya ada tawaran daripada mana-mana produk kepada Aisy Mateen.

“Saya tidak ada masalah sekiranya ada tawaran untuk Aisy Mateen berlakon iklan dan sebagainya. Kerana bagi saya, itu adalah rezeki untuk Aisy Mateen untuk masa depan dia,” ujarnya.

Mengulas mengenai aktiviti seni isterinya, Fadzil berkata Yana akan kembali bekerja pada September ini.

“Tinggal beberapa minggu lagi tempoh berpantang Yana tamat dan akan kembali bekerja dua minggu lagi.

“Yana perlu selesaikan komitmennya dengan CIMB Bank dan Super Coffee memandangkan dia merupakn jurucakap kepada kedua-dua produk tersebut,” katanya.

Untuk pembaca semua, Astro Gempak dapat kebenaran dari Ibu dan Ayah Aisy Mateen untuk berkongsi foto si comel ini. Banyak lagi foto comel Aisy Mateen di akaun Instagram, boleh la ramai-ramai 'request friend'.


Artikel Berkaitan


Komen