Gabungan dua kumpulan nasyid popular, Raihan dan Rabbani berkongsi satu pentas jarang dilihat oleh peminat muzik tanah air.

Menerusi Karnival Komuniti Bestari yang berlangsung di Padang Awam, Seksyen 9, Putra Height, Subang Jaya pada 26 sehingga 31 Ogos ini, peminat dapat menyaksikan gabungan dua kumpulan nasyid ini.

“Jarang kami bergabung dengan Raihan berkongsi satu pentas. Menerusi karnival tersebut, kami bakal menghiburkan hadirin yang hadir. Selain dua kumpulan nasyid ini, konsert sempena Karnival Komuniti Bestari turut menampilkan beberapa artis nasyid popular lain sebagai hiburan penonton.

“Aktiviti lain seperti jualan gerai usahawan, malam selawat, forum jihad ekonomi, malam kesenian Islam dan banyak lagi turut diadakan sepanjang karnival berlangsung,” kata Azadan Abdul Aziz mewakili kumpulan Rabbani.

Menurut wakil kumpulan Raihan, Che Amran Idris, mereka yakin karnival ini dapat menyatukan semua peminat, terutamanya penggemal muzik nasyid.

“Raihan dan Rabbani masing-masing mempunyai peminat tersendiri, namun semuanya berada di landasan yang sama iaitu peminat kumpulan nasyid tempatan.

“Saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain yakin karnival ini dapat menjadi landasan untuk menyatukan semua peminat nasyid tempatan. Harapan kami agar semua peminat nasyid dapat hadir beramai-ramai ke karnival ini kerana persembahan yang kami tampilkan diadakan secara percuma untuk semua,” katanya lagi.

Karnival Komuniti Bestari ini diadakan bersempena Umrah Ziarah Empat Masjid (UZ4M) yang akan diadakan pada 11 hingga 23 Mac tahun depan.

“UZ4M yang turut menampilkan pasangan penceramah terkenal, Ustaz Wan Akasyah dan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah.

“Selain program umrah dan ziarah yang menjadi agenda utama penganjuran UZ4M, kumpulan Rabbani dan Raihan turut bakal mengadakan persembahan di atas kapal sepanjang Sungai Nil, Mesir.

“Harapan kami agar peminat tidak melepaskan peluang untuk bersama menyertai UZ4M bersama kami,” kata Azadan mengakhiri perbualan.

Kredit foto: Harian Metro