Pelakon Kamal Adli menafikan dakwaan yang mengatakan prestasi kerjayanya sebagai seorang aktor terjejas kerana masalah cinta.

Hubungan Kamal dan kekasihnya, aktres Emma Maembong dikatakan berakhir dan perkara itu didakwa menjadi punca dia hilang fokus dan sering tiba lewat di lokasi penggambaran.

"Saya akui yang 'mood' saya tidak sama seperti dahulu apabila masalah itu timbul. Saya nak menipu pun tak boleh kerana orang lain boleh nampak menerusi riak wajah saya.

"Namun begitu, kerja tetap kerja. Saya bersikap profesional dan perkara tersebut tidak boleh saya jadikan alasan untuk hilang fokus," kata Kamal kepada Astro Gempak.

Enggan mengulas lanjut mengenai status hubungannya bersama Emma, Kamal memohon doa yang baik-baik daripada semua pihak.

"Saya masih berhubung dengan Emma. Buat masa sekarang, masing-masing perlukan masa rehat dan saya menghormati perkara tersebut.

"Kalau boleh, saya tidak mahu memberikan komen lanjut mengenai perkara ini. Saya hanya mahu peminat mendoakan yang baik-baik untuk kami berdua," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran program Taste Selebriti di Kuantan, Pahang.

Taste Selebriti merupakan program travelog terbaru Astro Bella yang bakal menjelajah ke beberapa buah negeri di seluruh Malaysia.

Para selebriti akan berkunjung ke negeri kelahiran masing-masing serta turut menjadi hos bagi episod berkenaan.