Penyanyi Misha Omar dan suami bersepakat untuk menamakan anak sulung mereka Muhammad Idris Ezzwa serta turut berkongsi foto bayi comel itu kepada Astro Gempak.

Muhammad Idris Ezzwa dilahirkan secara normal di Hospital Canselor Tunku Mukhriz , Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, pada jam 10.20 malam.

Bayi seberat 2.05 kilogram itu dilahirkan tiga minggu awal daripada tarikh jangkaan selepas Misha, mengadu tidak selesa sebaik selesai penggambaran muzik video lagu duet terbarunya bersama Adibah Noor, Jiwa Sentuh Jiwa di Morib.

Bagaimanapun keadaan kesihatan bayi sulungnya yang dilahirkan pada 24 Ogos lalu semakin positif dan dibenarkan doktor untuk pulang, malam Khamis selepas seminggu ditahan di hospital.

“Sepanjang seminggu lalu, saya melalui episod getir yang menguji kasih sejati seorang ibu. Alhamdulillah, Idris menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif sepanjang berada di bawah pengawasan doktor dan dibenarkan pulang malam tadi (Khamis).

“Syukur, keadaan kesihatan saya juga semakin pulih dan sekarang ni saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana baru.

“Saya juga berterima kasih kepada semua peminat yang mendoakan kesejahteraan diri saya dan juga anak,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Misha, ketika ini keadaan ibu dan bayi sihat namun namun atas permintaan doktor yang merawatnya, Prof Dr Mohd Hashim Omar, mereka terlebih dulu tidak dibenarkan menerima kunjungan tetamu untuk memastikan bayinya bebas daripada masalah kesihatan.

“Disebabkan doktor menasihatkan untuk tidak terlebih dulu menerima tetamu, saya mengambil keputusan untuk berkongsi foto Idris,” ujarnya.

Dalam pada itu, Misha turut berkongsi rasa terharunya kerana ramai yang sudi berkongsi kegembiraan bersamanya dan suami menimang cahaya mata sulung selepas dua tahun mendirikan rumahtangga.

Idris ialah bayi sulung hasil perkahwinan Misha dan juruterbang, Firos Ezzwan Rosly, 34, yang diijab kabulkan pada 2 Mei 2014. Sebelum ini, pasangan itu memiliki dua anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.