Ummi Nazeera Mengaku Sedang Berkawan, Tapi Masih Solo

8 September 2016. 11.49 AM
41,373
Hiburan
Ummi Nazeera Mengaku Sedang Berkawan, Tapi Masih Solo

Pelakon Ummi Nazeera, 26, akui dia masih solo dan belum mempunyai teman istimewa.

Bagaimanapun dia tidak menafikan sedang mengenali hati budi seorang lelaki selepas diperkenalkan sendiri oleh ibu pemuda berkenaan.

“Ya saya tak nafikan yang saya ada berkenalan dengan seorang lelaki. Kami baru saja kenal dalam tahun ini itu pun selepas diperkenalkan sendiri oleh ibunya.

“Masih terlalu awal untuk saya fikirkan mengenai teman istimewa. Lagipun itu soal jodoh, takut tidak kesampaian jadi kita ikut saja alurnya.

“Kami pun dalam peringkat berkawan dan apa yang saya boleh katakan ialah saya masih solo selagi belum ada ikatan perkahwinan.

“Saya janji andai kata saya sudah bersedia untuk berkahwin, saya akan maklumkan kepada semua tetapi bukan pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem Bisik Pada Langit bertempat di GSC Signiture, The Gardens pada Rabu.

Mengulas mengenai filem berkenaan, Ummi memberitahu dia tertarik dengan jalan cerita tersebut selain ingin berlakon di samping aktor veteran, Jalil Hamid.

“Jarang kita dapat lihat filem mengenai seorang bapa seperti mana filem ini. Antara satu sebab saya terima tawaran untuk Bisik Pada Langit ini adalah kerana jalan ceritanya.

“Kisah seorang bapa yang sangat sayangkan anak perempuannya sehingga sanggup lakukan apa saja demi menggembirakan hati seorang anak.

“Selain itu, saya memang nak sangat berlakon dengan Jalil Hamid dan kagum dengan lakonannya. Secara jujur, saya menangis selepas menonton filem tersebut,” ujarnya.

Selain Ummi, filem tersebut turut dibintangi oleh Jalil Hamid, Beto Kusyairi, Fadilah Mansor, Erwin Dawson dan Naim Daniel.

Filem arahan Kabir Bhatia itu akan disiarkan menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula 15 September ini.


Artikel Berkaitan


Komen