Penyampai radio Zayan, Raqib Majid bakal muncul dengan single terbaru bersama Fad Bocey.

Berkongsi perkembangan itu, Raqib menyatakan lagu ciptaan bersama berjudul Bila Pergi akan diperdengarkan menerusi platform radio Zayan dan Era pada minggu hadapan.

"Perjalanan buat lagu ini sangat ‘sempoi’ apabila kami duduk sembang berdua sebab kami kerja petang di radio.

"Fad kata dia ada lagu dan saya sambung sikit sehingga menjadi sebuah lagu," katanya secara eksklusif pada Astro Gempak.

Raqib memberitahu kisah lagu tersebut mengenai pendirian lelaki terhadap orang tersayang yang meninggalkannya.

"Selalu orang pergi dalam keadaan tidak baik tapi kita tidak balas dengan keadaan sama. Jika pasangan itu mahu kembali, kita terima," jelasnya.

Selain itu Raqib memberitahu, dia terkejut dengan kebolehan Fad menyanyikan lagu rap memandangkan rakannya itu lebih dikenali sebagai pelawak.

"Ketika menghasilkan lagu, saya sangat teliti. Saya tidak mahu buat lagu cincai atau menjaga hati kawan.

"Apabila tengok Fad boleh rap dengan baik, inilah masanya kami keluarkan single," katanya.

Akuinya, ia bukan kelebihan pada penyampai radio sepertinya memainkan lagu sendiri.

"Sebenarnya, senarai lagu bukan diletakkan penyampai tetapi bos. Saya pernah cakap pada bos jika lagu saya tak sedap tak payah pasang.

"Malah, hak memilih lagu bukan pada penyampai tapi pendengar yang lebih terbuka untuk memilih," katanya.

Raqib yakin single keduanya ini selepas Subhanallah duet bersama Waris, bakal diterima pendengar.

"Saya rasa pendengar akan suka pada lagu ini. Melodi dan rap bukan semata-mata hanya rap tapi kami cuba menyampaikan mesej positif.

"Saya berharap semua pendengar dapat memberi sokongan pada saya mencuba sesuatu yang baru. Malah, saya juga terbuka terima kritikan pendengar," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @raqibmajid @fadbocey