Hari ini genap usia 89 tahun hari kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang terus dikenang dalam memberi sumbangan besar pada industri seni nusantara.

Sama ada filem mahupun muzik, jasa P. Ramlee memang tidak perlu dipersoalkan. Malah, karyanya terus bersifat malar segar sehingga merentasi pelbagai generasi.

Bagi peminat filem Melayu, sudah tentu tahu kisah Kassim Selamat dalam filem popularnya, Ibu Mertuaku yang mengusik emosi penonton.

Lakonan hebat P. Ramlee membawakan watak utama itu diiktiraf sebagai pemenang anugerah Bakat Serba Boleh pada Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang berlangsung di Tokyo pada tahun 1963.

Namun, di sebalik kisah Kassim Selamat sebagai pemain saksofon yang handal, ia juga merujuk pada kisah benar bapa P. Ramlee sendiri, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim.

Menurut kisah yang dikongsi Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik di Facebook, bapa P. Ramlee itu seringkali bersedih dan menangis selepas anaknya itu meninggalkan Pulau Pinang dan pergi ke Singapura pada tahun 1948.

Meskipun, bapanya merestui hasrat P. Ramlee yang mahu mengejar cita-citanya, jiwa seorang bapa tetap merindui anaknya sehingga matanya menjadi buta.

Lebih menyedihkan, bapanya itu pernah meminta rakan membawanya ke pawagam untuk menonton filem lakonan P. Ramlee biarpun hanya mampu mendengar suara.

P. Ramlee tidak berkesempatan pulang ke Pulau Pinang kerana sibuk dengan jadual kerja. Bagaimanapun, dua beranak itu bertemu semula 5 tahun kemudian.

Sebagaimana kisah benar hidupnya itu, P. Ramlee menterjemahkannya ke layar perak sebagai teladan buat penonton. Al-fatihah.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik