Selepas hampir lima bulan menyepi di media sosial, peminat Kim Tae Hee akhirnya lega apabila pelakon itu mula memuat naik status terbaharu di Instagram (IG).

Menerusi laporan Soompi, Kim Tae Hee telah memuat naik dua keping gambar swafotonya di IG dengan menanyakan khabar peminat.

"Apa khabar semua? Saya kini berada dilokasi penggamaran iklan pertama saya selepas beberapa bulan berehat melahirkan anak.

"Saya fikir cuaca kini sudah hangat tetapi masih sejuk lagi. Hati-hati dan jangan sampai dijangkiti demam.

"Saya juga akan kembali sibuk dengan penggambaran tidak lama lagi dan diharapkan semuanya berada dalam keadaan sihat dan bahagia," tulisnya.

Rata-rata peminat teruja serta berharap Kim Tae Hee dapat aktif semula di media sosial seperti sebelum ini dan mereka mengakui tidak sabar menantikan kemunculannya semula.

Kim Tae Hee dan Rain berkahwin pada 19 Januari tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan pada Oktober 2017.

Namun, sehingga kini pasangan itu belum berkongsi wajah anak mereka kepada umum.

Sumber: Soompi