Penyanyi popular, Mawi mengakui dia cukup cerewet dalam mengarah filem pertamanya termasuk masih belum mendapat judul yang sesuai.

Bereksperimen dengan genre komedi Islamik, Mawi turut menitikberatkan setiap babak agar memberi mesej kepada penonton.

Antara yang menarik perhatian adalah babak-babak membabitkan watak seorang manusia pelik yang menetap di dalam rumah yang dibina di dalam tanah.

Mawi mewujudkan props rumah dalam tanah bersama satu watak pelik untuk menyampaikan mesej keagamaan pada penonton.

Jelas Mawi, props rumah tersebut dibina dalam tempoh seminggu.

"Ada satu watak pelik yang dianggap gila. Dia bukan taksub pada agama tapi apa yang dia kata membuatkan kita terfikir betul atau tidak.

"Watak tersebut memang wujud tapi dah arwah. Dia bina rumah dalam tanah sebab selalu ingat mati. Hanya tinggal seorang diri dan memakai ihram sepanjang masa," ujarnya kepada Astro Gempak.

Mawi memberikan arahan pada dua pelakon utamanya, Hazama (kiri) dan Along (kanan) ketika di lokasi penggambaran filem arahan pertamanya baru-baru ini.

Mawi mengakui berdebar menantikan respons penonton dan sempat berpesan agar orang ramai pergi menonton filem ini di pawagam.

"Tengok dulu sebelum menilai. Ada yang sudah 'belasah' saya tapi saya okay.

"Saya sudah melalui bermacam pengalaman sebagai anak seni.

"Sebolehnya, jika netizen selalu beri komen sebegini, kita cuba jadikan mereka kawan," katanya mahu terus berkarya untuk filem baru pada masa akan datang.

Mawi turut membawa watak antagonis dalam filem arahannya sendiri.

Foto: Mawi
Teks oleh: Elrafaei Sapi