Krisis rumah tangga pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude dan Intan Liana Saleh terlerai selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Gombak Timur, Taman Seri Keramat, Selangor pada jam 9.50 pagi tadi.

Intan yang ditemui di perkarangan mahkamah selepas kes penceraian tersebut menerima semuanya dengan reda.

“Saya menerima semua takdir yang Allah tentukan. Jodoh saya dan dia hanya sampai di sini sahaja.

“Saya tak menyimpan sekelumit dendam atau menyimpan perasaan marah terhadap dia atas semua perkara yang berlaku.

“Keluarga saya juga menerima perkara ini dengan hati terbuka. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja,” kata Intan sebak.

Tambah Intan, dua anak hasil perkahwinan bersama Ude masih dalam penjagaannya.

“Saya bakal memfailkan hak penjagaan sepenuhnya serta beberapa tuntutan lain selepas ini. Sepanjang kami tidak tinggal sebumbung, Ude bebas membawa anak-anak untuk bersamanya.

“Saya tiada mempunyai sebarang masalah untuk Ude mengambil dan menjenguk anak-kami, tapi saya akan memfailkan hak penjagaan sepenuhnya dan tuntutan-tuntutan lain selepas ini,” katanya.


Ude diwakili oleh peguam syariah Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain manakala Intan pula diwakili oleh Suriany Awaludin.

Ude mendirikan rumah tangga dengan Intan pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Areq Muqri berusia setahun.

Pada November tahun lalu, Intan dilaporkan rela bermadu dan akan mempertahankan rumah tangganya setelah mengetahui suaminya telah bernikah dengan Izreen pada 8 Ogos.

Izreen kemudiannya membuat pengakuan terbuka, dia sah menjadi isteri kedua Ude sejak 8 Ogos 2017 dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza pada 2012 dan bercerai selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.

Teks oleh: Kamaruddin Razal