Tiada Sebarang Maklumbalas, Faye Kusairi Teruskan Hasrat Saman JAIS

9 September 2016. 2.56 PM
176,286
Hiburan
Tiada Sebarang Maklumbalas, Faye Kusairi Teruskan Hasrat Saman JAIS

Pelakon Faye Kusairi meneruskan hasratnya untuk memfailkan saman terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pada April lalu, kediaman keluarga Faye atau nama sebenarnya, Dayangku Faratiwan Adnil Pangeran Kusairi, 29, diserbu JAIS berikutan aduan dia dikatakan berkhalwat di rumah itu.

Dalam kejadian itu, pihak JAIS dikatakan memecahkan jeriji pintu rumah tersebut sebelum membuat serbuan.

Ketika kejadian, rumah terbabit didiami ibu, bapa dan adik lelakinya, manakala Faye tinggal berasingan bersama rakan.

“Kes tersebut berlaku pada April, sekarang sudah memasuki pertengahan bulan September. Saya menantikan maklumbalas JAIS namun perkara tersebut gagal.

“Jika mereka memberi pencerahan dan menerangkan apa yang terjadi dengan baik, mungkin saya tidak akan meneruskan saman,” kata Faye kepada Astro Gempak.

Tambah Faye, pihak peguam yang mewakilinya kini sedang menyiapkan dokumen yang diperlukan untuk memfailkan saman terhadap badan tersebut.

“Sebelum saya terus saman, saya akan mengadakan siding media terlebih dahulu. Tindakan JAIS melakukan serbuan di rumah saya memang tidak salah, namun apa yang saya tidak suka ialah fitnah terhadap diri saya.

“Mereka juga tidak memberikan penjelasan mengenai mengapa mereka menyerbu rumah saya. Selama ini, saya menjaga nama baik ibu bapa saya. Apa yang saya hampakan, disebabkan perkara ini, saya dan keluarga terutama ibu bapa menanggung malu,” katanya ketika ditemui di set penggambaran filem Tombiruo: Penunggu Rimba di Gombak baru-baru ini.

Menerusi filem terbitan Astro Shaw itu, Faye memegang watak sebagai Salina, isteri kepada Amirudin, lakonan Farid Kamil.







“Saya sangat teruja untuk membintangi filem ini kerana ini merupakan lakonan pertama saya di layar lebar. Saya menghadiri ujibakat dan Alhamdulillah, saya terpilih untuk memegang watak Salina.

“Saya juga teruja kerana berpeluang untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon berbakat seperti Nabila Huda, Datuk M. Nasir dan ramai lagi,” katanya lagi.

Filem adaptasi novel Tombiruo: Penunggu Rimba ini merupakan karya novelis terkenal Ramlee Awang Murshid. Filem ini turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Hasnul Rahmat, Datin Marlia Musa dan ramai lagi.


Artikel Berkaitan


Komen