Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof mengakui kejayaan yang diperolehi oleh adiknya, Syafiq Yusof memberi persaingan hebat kepadanya dalam bidang pengarahan.

Menurut Syamsul, kejayaan adiknya itu mendorong dia untuk melakukan sesuatu supaya dapat bersaing memartabatkan filem di Malaysia pada masa akan datang.

"Syafiq telah meletakkan filem di Malaysia pada satu tahap yang tinggi dengan kejayaan filem yang dihasilkan oleh dia.

"Pencapaian cemerlang Syafiq itu juga turut memberikan persaingan yang sihat dalam bidang pengarahan.

"Jadi perkara itu secara tidak langsung memberikan saingan kepada saya sebagai seorang pengarah juga.

"Kalau kita perhatikan tak ramai pengarah yang betul-betul berjaya dalam kerjaya mereka jadi saya harus lakukan sesuatu supaya dapat menandingi kejayaan yang diperoleh Syafiq pada masa akan datang.

"Saya lihat persaingan itu penting untuk memperbaiki mutu pengarahan supaya sesebuah filem itu dapat diterima oleh penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Syamsul berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem KL Special Force di Mmcineplexes e@curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Selain Syamsul Yusof filem bercorak kepolisan ini turut dibintagi Fattah Amin, Datuk Rosyam Nor, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Ramona Zamzam, Shaharudin Tambi, Esma Danial dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan filem KL Special Force di pawagam seluruh sekarang.